Selasa, Mac 04, 2014

Wajarkah Negara Menganut Agama?


 - Gambar hiasan: masih relevankah pembahagian ini -

   Perhimpunan Agung UMNO yang lepas mengisytiharkan bahawa Malaysia ialah negara Ahlu Sunnah wal Jamaah. Secara langsung ini merupakan amaran keras terhadap seteru bersejarah dalam mazhab-mazhab aqidah islam iaitu mazhab Shiah. Iran dan Iraq tanpa diragukan lagi merupakan negara yang majoriti atau politiknya dikuasai oleh golongan Syiah.

  Hal ini rupanya dilaporkan menjejaskan ekonomi negara dalam konteks hubungan perdagangan dengan Iran. Iran dikatakan tidak lagi ingin meneruskan bekalan minyak sawit daripada Malaysia. Ahli politik Iraq juga mengatakan bahawa Malaysia adalah negara pertama yang mengkafirkan Syiah, seterusnya menuduh Iran sebagai satu negara kafir. Ini menurut sumber pro-Syiah, merupakan suatu takfir sekala besar yang boleh menjadi faktor utama penghalalan darah golongan. Ditambah dengan fatwa-fatwa dan bekalan senjata daripada Arab Saudi, yang kini dianggap oleh golongan pro-Syiah sebagai penjajah baru di bumi Syria sambil bersekongkol dengan Amerika.

   Situasi ini dilihat menjadi permainan ahli politik di Malaysia. Lidah PAS, akhbar harakah mendapat laporan bahawa ada menteri meminta bantuan PAS agar memperbaiki hubungan dengan Iran semula lantaran kesan selepas deklarasi Perhimpunan UMNO tahun lepas. PAS menuduh inilah akibatnya kerana mengkafirkan Syiah. Kedengaran semula penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Treaty of Amman yang ironinya mengiktiraf ASWJ, Syiah, Ibadi dan Zhahiri sebagai Muslim.

    Hipotesis yang penulis ingin bangkit di sini ialah; inilah akibatnya apabila negara diberikan status agama. Padahal negara itu adalah subjek bukannya objek. Objeknya yang penduduknya sahajalah mencorakkan pentadbiran dan identitinya. Sesebuah negara itu boleh bertukar identiti pada bila-bila masa sahaja. 

bersambung...