Isnin, Mac 03, 2014

Antara Hak Bersuara dan Menjaga Agama: Mana Lebih Utama?


- Peperangan kerap memberi mudharat daripada memberi untung-

    Manusia dianggap sebagai makhluk hidup yang memiliki nilai intelektual yang paling tinggi dalam kalangan benda-benda hidup yang lain. Dikatakan perbezaan ini merujuk kepada penggunaan aqal yang maju dan saiz otak yang lebih besar nisbahnya berbanding haiwan lain. Namun, mengapakah zaman berzaman berlalu, manusia berterusan berbunuhan atas satu sama lain. Mereka membunuh spesis sendiri atas kepentingan kelompok atau individu tatkala haiwan pula "berfikir" untuk meneruskan kemandirian spesis sendiri. Justeru di manakah istimewanya aqal?


   Oleh kerana itu, struktur Maqasid al-Shariah dibawah payung Dharuriyyat perlu dinilai dan difahami secara berhati-hati. Bentuk tradisional yang diperkenalkan oleh ulama Maqasid seperti al-Juwaini, al-Ghazali, Ibn Khaldun dan as-Shatibi adalah seperti berikut: 1) penjagaan agama 2) jiwa 3) intelek 4) keturunan/maruah 5) harta. Apa yang kerap disalahfahami dan ditinggalkan ialah aturan ini sebenarnya memiliki pengecualian dan pertindihan dalam keadaan-keadaan tertentu. Keadaan ini berlaku akibat dimensi-dimensi hukum mengikut saiz subjek manusia itu sendiri sama ada para peringkat individu, umat Islam dan manusia keseluruhannya.

   Pembahagian tradisional lebih menumpukan aspek hak-hak asasi individu dan banyak diterjemahkan dalam konteks wilayah Islam (Dar al-Islam) berlawan dengan wilayah kekafiran (Dar al-Harb). Namun realiti berubah. Sempadan negara tidak lagi menunjukkan sempadan aqidah. Anak-anak muslim lahir di negara majoriti non-muslim. Maka sewajarnya dimensi hukum juga berubah menuju kepada peringkat ketiga iaitu nilai kemanusiaan sejagat.

    Justeru, saya berpendapat bahawa hak bersuara lebih wajar diperjuangkan dan diutamakan pada masa sekarang. Ini kerana dalam paradigm Maqasid al-Shariah,  masalahah hifz din tidak akan mampu sempurna jikalau hifz nafs dan hifz aqal tidak dijaga dengan baik. Dalam erti kata lain, sebelum kita tentukan orang itu salah atau betul, bagi peluang dia bercakap dengan kadar intelektual (hifz aqal) dan jaminan kehidupannya terselamat ketika dia bercakap (hifz nafs). Dan selagi mana tiada mudharat yang muhaqqah (diiktiraf) dikhuatiri akan membawa fitnah kepada masharakat, maka selagi itu hak kebebasan bersuara dan berbeza pandangan itu perlu dipertahankan. 

Tetapi ingat! Meskipun setiap individu itu memiliki kebebasan bersuara dan berpandangan, ia tetap hadir dengan tanggungjawab.

Wallahua'lam

Tiada ulasan: